Bersama adik-adik

Bersama adik-adik

Friday, 9 November 2012

Haram Dan Beberapa Ketentuannya

  
Sesungguhnya pujian hanyalah bagi Allah s.w.t.. Kita memujiNya dan memohon pertolongan dan keampunanNya serta berlindung kepadaNya dari kejahatan hawa nafsu dan keburukan amalan. Sesiapa yang diberi hidayah oleh Allah, maka tidak ada yang dapat menyesatkannya dan sebaliknya, sesiapa yang disesatkan maka tidak ada yang dapat memberi  petunjuk kepadanya.

Sesungguhnya Allah s.w.t. mewajibkan beberapa kewajiban yang tidak boleh diabaikan, memberi beberapa ketentuan yang tidak boleh dilampaui dan mengharamkan beberapa perkara yang tidak boleh dilanggar.

Nabi s.a.w. bersabda:


“Apa yang dihalalkan oleh Allah dalam kitabNya maka itulah yang halal, dan apa yang diharamkan maka itulah yang haram, sedangkan apa yang didiamkan tentangnya maka ia adalah yang dimaafkan, maka terimalah apa yang dimaafkan oleh Allah. Sesungguhnya Allah tidak pernah lupa, kemudian baginda membaca ayat: “Dan tidaklah Tuhanmu lupa.”(Q.S.Maryam: 64) (Hadith riwayat Al-Hakim)

Perkara-perkara yang diharamkan adalah ketentuan-ketentuan yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. sebagaimana firmanNya:


“Itulah larangan Allah, maka janganlah kamu mendekatinya.” ( Q.S.Al-Baqarah: 187 )

Allah mengancam orang yang melampaui ketentuan-ketentuanNya dan melanggar apa yang diharamkanNya seperti ditegaskan dalam Al-Quran.

Firman Allah s.w.t.:


“Dan sesiapa yang menderhakai Allah dan RasulNya dan melanggar ketentuan-ketentuanNya, nescaya Allah memasukkannya ke adalam api nereka sedang ia kekal di dalamnya dan baginya seksa yang hina.” (Q.S.Al-Nisa: 14 )

Menjauhi perkara-perkara yang diharamkan hukumnya adalah wajib, perkara itu berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.:


“Apa yang aku larang kamu dari mengerjakannya, maka jauhilah ia, dan apa yang aku perintahkan kepada kamu maka lakukanlah semampunya.” (Hadith riwayat Muslim)

Sering kita saksikan sebahagian para penurut hawa nafsu, orang-orang yang lemah jiwa dan sedikit ilmunya, manakala mendengar perkara-perkara yang diharamkan secara berturut-turut ia berkeluh kesah kesal seraya berkata: “Semuanya haram, tidak ada sesuatu apapun kecuali kamu mengharamkannya, kamu telah menyuramkan kehidupan kami, kamu menyebabkan hidup kami gelisah, menyempitkan dada kami, kamu tidak memiliki selain haram, agama ini mudah, persoalannya tidak sesempit itu dan Allah s.w.t. Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Untuk menjawab ucapan mereka, kita katakan sebagai berikut: “Sesungguhnya Allah s.w.t. menetapkan hukum menurut kehendaknya, tidak ada yang dapat menolak ketetapnNya. Allah Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui, maka Dia menghalalkan apa yang dikehendakiNya dan di antara dasar kehambaan kita kepada Allah s.w.t. adalah hendaklah kita redha dengan apa yang ditetapkan olehNya, pasrah dan berserah diri kepadaNya secara mutlak.”

Hukum-hukum Allah s.w.t. berdasarkan atas ilmu, hikmah dan keadilanya, tidak sia-sia dan main-main.

Allah s.w.t. berfirman:


“Telah  sempurnalah kalimah Tuhanmu (Al-Quran meliputi hukum-hukum dan janji-janjiNya), sebagai kalimah yang benar dan adil, tidak ada yang dapat mengubah kalimah-kalimahNya dan Dialah yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.” (Q.S.Al-An’am: 115)

Allah menjelaskan kepada kita tentang kaedah halal haram dalam firmanNya:


“Dan (Allah) menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala  yang buruk.” (Q.S.Al-A’arf: 157)

Maka yang baik-baik adalah yang halal, dan yang buruk-buruk adalah haram. Perkara menghalalkan dan mengharamkan sesuatu hanyalah  hak Allah menetapkan dirinya berhak menentukannya maka dia telah kafir dan keluar dari agama Islam.

Allah s.w.t. berfirman:


“Apakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan oleh Allah.” (Q.S.Al-Syura: 21)

Tidak seorangpun berhak berbicara tentang halal haram kecuali para ahli yang mengetahuinya berdasarkan Al-Quran dan Al-Sunnah. Allah memberi peringatan keras kepada orang yang menghalalkan dan mengharamkan sesuatu tanpa ilmu pengetahuan, sebagaimana yang ditegaskan dalam firman Allah s.w.t.:


“Dan janganlah kamu mengatakan apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta “ini halal dan ini haram” untuk mengadakan-gadakan kebohongan terhadap Allah.” (Q.S.Al-Nahl: 116)

Perkara-perkara yang diharamkan secara qath’I (tegas) terdapat dalam Al-Quran dan Al-Sunnah seperti dalam firman Allah s.w.t.:


“Katakanlah: marilah kubacakan apa yang diharamkan atas kamu oleh Tuhanmu iaitu: janganlah kamu mempersekutukan sesuatu dengan Dia, berbuat baiklah terhadap kedua ibu dan bapa, dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut kemiskinan.” (Q.S.Al-An’am: 151)


Bersambung…


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...