Salam Tahun Baru. Semoga tahun lalu memberi impak besar dalam
kehidupan kita. Impaknya di samping memberi kita kesihatan tubuh badan, akal
yang cerdas dan senentiasa dalam pengawasan daripada Allah s.w.t.. Perubahan
penting ialah amalan baik kita semakin meningkat; amalan kehidupan kita
berpaksikan agama, tindak tanduk kita berdasarkan al-Quran, perancangan kita
menurut takwim tepat dan perkara-perkara tersebut membantu kita untuk
berhadapan pada saat-saat getir. Masa kita terlalu singkat dan menjarakkan
kehidup-an dunia kita dari semasa ke semasa.
Kita berharap tahun ini lebih
baik daripada tahun lalu. Harapan kita bersebab kerana semakin kita hampir
mendekati hari-hari yang mendatang maka kerinduaan kita berjumpa Rasulullah
s.a.w. semakin membara. Ibarat seorang suami merindui isterinya atau seorang
isteri menanti kepulangan suaminya. Perjalanannya panjang tetapi masanya dekat.
Dekatnya seperti kita berdiri di depan pintu rumah.
Oleh itu, sempena tahun baru
marilah kita mengingati bagaimana Rasululah s.a.w. diperintah oleh Allah s.w.t.
melaksanakan kewajiban-kewajiban syariat Islam, antaranya; mendirikan salat,
mengeluarkan zakat, berpuasa, mengerjakan haji, mengkanunkan syariah, tilawah
Quran, zikrullah, uzlah, kalwat dan seumpamanya.
Melalui pengukuhan iman dan keyakinan
pula dengan penetapan akal dan naluri perasaan diteguhkan dengan penurunan
Al-Quran berperingkat-peringkat dan diperjelaskan oleh Nabi s.a.w. tentang
asbab nuzulnya sesuatu peristiwa dan kaitannya dengan ayat-ayat tersebut.
Pertautkaitan al-Quran dan penjelasan Nabi s.a.w. mengukuhkan kefahaman
keyakinan mereka. Ia menambahkan ketakwaan dan penerimaan Islam yang jelas,
tepat dan benar.
Nabi mengajak manusia supaya
mentauhidkan Allah s.w.t., melaksanakan perintah Allah s.w.t., menguatkan jiwa
dengan ketakwaan, keikhlasan, ketekunan supaya sifat keduniaan tidak sebati
berpadu dengan darah, jiwa dan akal manusia. Kesannya amat dahsyat jika ianya
terjadi. Kesesatan akan dijadikan suatu yang benar dan kebenaran pula akan
diletakkan sebagai suatu yang dangkal. Kesesatan mudah dilakukan tetapi
kebenaran berat ditegakkan. Maka berlakulah pertembungan di antara kesesatan
dan kebenaran. Antara yang hak dan batil.
Para sahabat Nabi s.a.w. tidak
pernah merancang, berpakat, merencana, berhimpun untuk tujuan menghiburkan hati
mereka dan untuk kepentingan perut-perut mereka. Tetapi mereka berhimpun untuk
memikirkan agama Islam, umat Islam dan kaum-kaum yang masih dalam kesesatan.
Mereka yakin dengan agama Islam sebagaimana mereka yakin dengan kehidupan di
dunia ini. Keyakin mereka bulat, seratus peratus.
Masa mereka dimanfaatkan
dengan dakwah. Kehidupan mereka dipenuhi dengan keyakinan yang bersinar
cemerlang. Mereka memiliki keazaman kukuh untuk mencapai sesuatu impian,
cita-cita mereka melangit yang sukar dicapai oleh manusia biasa tetapi mudah
bagi mereka mencapainya, pesanan Rasulullah s.a.w. suatu ikrar yang mesti
dilaksanakan sama ada semasa bersama hayat Baginda s.a.w atau selepas
ketiadaannya, mereka berpegang teguh dengan agama Islam sebagaimana mereka menggenggam
bara api. Mereka tidak pernah takut dengan ugutan, provokasi, ucapan ancaman
dan tindakan golongan sesat. Perkara ini
menjadikan mereka sukar dikalahkan oleh musuh-musuh mereka.
Perumpamaan kehidupan yang
tidak dibajai oleh ajaran tauhid seperti tumbuh-tumbuhan tidak menerima air,
hujan atau embun. Ia akan musnah kerana kehidupannya tidak dilengkapi oleh
unsur-unsur pertumbuhan yang baik. Pertumbuhan dan arah pucuknya akan
terpesong, melelong, membengkok ke sana sini. Akhirnya batangnya melingkuk,
dahannya bercabang; menegak, menyenget, melintang dan melemahkan daya
ketahanannya. Pokok tumpang mulai menapak, mengukuhkan perumahnya dan
mereputkan sendi-sendi pokok asal. Kematian dan kereputannya tidak dipedulikan
oleh makhluk kecuali melalui pengawasan tuannya.
Demikaian juga pesakit barah,
tuan atau puan punya diri tidak menyedari bahawa terdapat simptom-simpton
penyakit sedang bertapak di badannya. Ia tidak melakukan pengawasan, merawatnya
dengan segera, membiarkannya kerana tiada gejala-gejala dan tanda-tanda yang
memudharatkan, tiada tindakbalas negatif, maka kelalaian telah bertapak
dibenaknya. Akhirnya, bila barah
tersebut berada pada tahap yang parah-kritikal dan sukar dirawat baharulah ia
sedar betapa pentingnya kesihatan. Betapa pentingnya langkah-langkah pengawasan
awal dan perubatan susulan supaya penyakit tersebut dapat dipantau oleh pakar.
Di samping itu penyaki-penyakit sampingan juga dapat dikesan lebih awal jika
tidak dapat dihapuskan sepenuhnya.
Allah memberi kita akal
geliga, mata hati yang terang, tubuh badan sihat, lidah yang fasih dan tingkah
laku yang baik sepatutnya digunakan memikir tentang kejadian-kejadian ciptaan
Allah s.w.t., melihat dan memerhati alam sebagai tanda-tanda kebenaran dan
kebesaran Allah s.w.t. dengan keyakinan jelas tepat, benar bahawa manusia
dilahirkan di dunia ini bukan sia-sia. Mereka mempunyai wawasan yang jelas,
misi dan visi yang tepat dan halangan-halangan yang mendatang mudah di atasi
kerana mereka wujud bukan untuk makan dan berseronok semata-mata tetapi
berusaha mengenali pencipta alam ini terutamanya kejadiaan diri kita sendiri.
Beruntunglah manusia yang memahami kejadiannya.
Salam Muharam 1435H
No comments:
Post a Comment